Biografi Ringkas Imam Nawawi
Beliau
adalah Yahya bin Syaraf bin Hasan bin Husain An-Nawawi Ad-Dimasyqiy, Abu
Zakaria. Beliau dilahirkan pada bulan Muharram tahun 631 H di Nawa, sebuah
kampung di daerah Dimasyq (Damascus) yang sekarang merupakan ibukota Suriah.
Beliau dididik oleh ayah beliau yang terkenal dengan kesalehan dan ketakwaan.
Beliau mulai belajar di katatib (tempat belajar baca tulis untuk anak-anak) dan
hafal Al-Quran sebelum menginjak usia baligh.
Ketika
berumur sepuluh tahun, Syaikh Yasin bin Yusuf Az-Zarkasyi melihatnya dipaksa
bermain oleh teman-teman sebayanya, namun ia menghindar, menolak dan menangis
karena paksaan tersebut. Syaikh ini berkata bahwa anak ini diharapkan akan
menjadi orang paling pintar dan paling zuhud pada masanya dan bisa memberikan
manfaat yang besar kepada umat Islam. Perhatian ayah dan guru beliaupun menjadi
semakin besar.
An-Nawawi
tinggal di Nawa hingga berusia 18 tahun. Kemudian pada tahun 649 H ia memulai rihlah
thalabul ilmi-nya ke Dimasyq dengan menghadiri halaqah-halaqah ilmiah yang
diadakan oleh para ulama kota tersebut. Ia tinggal di madrasah Ar-rawahiyyah di
dekat Al-Jami’ Al-Umawiy. Jadilah thalabul ilmi sebagai kesibukannya
yang utama. Disebutkan bahwa ia menghadiri dua belas halaqah dalam sehari. Ia
rajin sekali dan menghafal banyak hal. Ia pun mengungguli teman-temannya yang
lain. Ia berkata: “Dan aku menulis segala yang berhubungan dengannya, baik
penjelasan kalimat yang sulit maupun pemberian harakat pada kata-kata. Dan
Allah telah memberikan barakah dalam waktuku.” [Syadzaratudz Dzahab
5/355].
Diantara
syaikh beliau: Abul Baqa’ An-Nablusiy, Abdul Aziz bin Muhammad Al-Ausiy, Abu
Ishaq Al-Muradiy, Abul Faraj Ibnu Qudamah Al-Maqdisiy, Ishaq bin Ahmad
Al-Maghribiy dan Ibnul Firkah. Dan diantara murid beliau: Ibnul ‘Aththar
Asy-Syafi’iy, Abul Hajjaj Al-Mizziy, Ibnun Naqib Asy-Syafi’iy, Abul ‘Abbas
Al-Isybiliy dan Ibnu ‘Abdil Hadi.
Pada
tahun 651 H ia menunaikan ibadah haji bersama ayahnya, kemudian ia pergi ke Madinah dan menetap
disana selama satu setengah bulan lalu kembali ke Dimasyq. Pada tahun 665 H ia
mengajar di Darul Hadits Al-Asyrafiyyah (Dimasyq) dan menolak untuk mengambil
gaji.
Beliau
digelari Muhyiddin (yang menghidupkan agama) dan membenci gelar ini
karena tawadhu’ beliau. Disamping itu, agama islam adalah agama yang
hidup dan kokoh, tidak memerlukan orang yang menghidupkannya sehingga menjadi
hujjah atas orang-orang yang meremehkannya atau meninggalkannya. Diriwayatkan
bahwa beliau berkata: “Aku tidak akan memaafkan orang yang menggelariku
Muhyiddin.”
Imam
An-Nawawi adalah seorang yang zuhud, wara’ dan bertaqwa. Beliau sederhana, qana’ah
dan berwibawa. Beliau menggunakan banyak waktu beliau dalam ketaatan. Sering
tidak tidur malam untuk ibadah atau menulis. Beliau juga menegakkan amar ma’ruf
nahi munkar, termasuk kepada para penguasa, dengan cara yang telah digariskan
Islam. Beliau menulis surat berisi nasehat untuk pemerintah dengan bahasa yang
halus sekali. Suatu ketika beliau dipanggil oleh raja Azh-Zhahir Bebris untuk
menandatangani sebuah fatwa. Datanglah beliau yang bertubuh kurus dan
berpakaian sangat sederhana. Raja pun meremehkannya dan berkata:
“Tandatanganilah fatwa ini!!” Beliau membacanya dan menolak untuk membubuhkan
tanda tangan. Raja marah dan berkata: “Kenapa !?” Beliau menjawab: “Karena
berisi kedhaliman yang nyata.” Raja semakin marah dan berkata: “Pecat ia dari
semua jabatannya!” Para pembantu raja berkata: “Ia tidak punya jabatan sama
sekali.” Raja ingin membunuhnya tapi Allah menghalanginya. Raja ditanya:
“Kenapa tidak engkau bunuh dia padahal sudah bersikap demikian kepada Tuan?”
Raj apun menjawab: “Demi Allah, aku sangat segan padanya.”
Imam
Nawawi meninggalkan banyak sekali karya ilmiah yang terkenal. Jumlahnya sekitar
empat puluh kitab, diantaranya:
- Dalam bidang hadits: Arba’in, Riyadhush Shalihin, Al-Minhaj (Syarah Shahih Muslim), At-Taqrib wat Taysir fi Ma’rifat Sunan Al-Basyirin Nadzir.
- Dalam bidang fiqih: Minhajuth Thalibin, Raudhatuth Thalibin, Al-Majmu’.
- Dalam bidang bahasa: Tahdzibul Asma’ wal Lughat.
- Dalam bidang akhlak: At-Tibyan fi Adab Hamalatil Qur’an, Bustanul Arifin, Al-Adzkar.
Kitab-kitab
ini dikenal secara luas termasuk oleh orang awam dan memberikan manfaat yang
besar sekali untuk umat. Ini semua tidak lain karena taufik dari Allah Ta’ala,
kemudian keikhlasan dan kesungguhan beliau dalam berjuang.
Secara
umum beliau termasuk salafi dan berpegang teguh pada manhaj ahlul hadits, tidak terjerumus dalam filsafat dan berusaha meneladani
generasi awal umat dan menulis bantahan untuk ahlul bid’ah yang menyelisihi
mereka. Namun beliau tidak ma’shum (terlepas dari kesalahan) dan jatuh
dalam kesalahan yang banyak terjadi pada uluma-ulama di zaman beliau yaitu
kesalahan dalam masalah sifat-sifat Allah Subhanah. Beliau kadang men-ta’wil
dan kadang-kadang tafwidh. Orang yang memperhatikan kitab-kitab beliau
akan mendapatkan bahwa beliau bukanlah muhaqqiq dalam bab ini, tidak
seperti dalam cabang ilmu yang lain. Dalam bab ini beliau banyak mendasarkan pendapat
beliau pada nukilan-nukilan dari para ulama tanpa mengomentarinya.
Adapun
memvonis Imam Nawawi sebagai Asy’ari, itu tidak benar karena beliau banyak
menyelisihi mereka (orang-orang Asy’ari) dalam masalah-masalah aqidah yang lain seperti ziyadatul iman dan khalqu
af’alil ‘ibad. Karya-karya beliau tetap dianjurkan untuk dibaca dan
dipelajari, dengan berhati-hati terhadap kesalahan-kesalahan yang ada. Tidak
boleh bersikap seperti kaum Haddadiyyun yang membakar kitab-kitab karya beliau
karena adanya beberapa kesalahan di dalamnya.
Komite
Tetap untuk Riset Ilmiah dan Fatwa kerajaan Saudi ditanya tentang aqidah beliau dan menjawab: “Lahu aghlaath fish shifat”
(Beliau memiliki beberapa kesalahan dalam bab sifat-sifat Allah).
Imam
Nawawi meninggal pada 24 Rajab 676 H -rahimahullah wa ghafara lahu-.
'Syeikh Nawawi Al Bantani ( Digelar Imam Nawawi Kedua
)
Nama
Imam Nawawi tidak asing lagi bagi dunia Islam terutama dalam lingkungan
ulama-ulama Syafi'iyah. Ulama ini sangat terkenal kerana banyak karangannya
yang dikaji pada setiap zaman dari dahulu sampai sekarang. Pada penghujung abad
ke-18 lahir pula seorang yang bernama Nawawi di Banten, Jawa Barat. Setelah dia
menuntut ilmu yang sangat banyak, mensyarah kitab-kitab bahasa Arab dalam
pelbagai disiplin ilmu yang sangat banyak pula, maka dia digelar Imam Nawawi
ats-Tsani, ertinya Imam Nawawi Yang Kedua. Orang pertama memberi gelaran
demikian ialah Syeikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.
Gelaran
yang diungkapkan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani dalam seuntai gubahan syairnya
itu akhirnya diikuti oleh semua orang yang menulis riwayat ulama yang berasal
dari Banten itu. Sekian banyak ulama dunia Islam sejak sesudah Imam Nawawi yang
pertama (wafat 676 Hijrah/1277 Masehi) sampai sekarang ini belum ada orang lain
yang mendapat gelaran Imam Nawawi ats-Tsani, kecuali Syeikh Nawawi, ulama
kelahiran Banten yang dibicarakan ini. Rasanya gelaran demikian memang
dipandang layak, tidak ada ulama sezaman dengannya mahupun sesudahnya yang
mempertikai autoritinya dalam bidang ilmiah keislaman menurut metode
tradisional yang telah wujud zaman berzaman dan berkesinambungan.
Sungguhpun Syeikh Nawawi ats-Tsani
al-Bantani diakui alim dalam semua bidang ilmu keislaman, namun dalam dunia
at-thariqah ash-shufiyah, gurunya Syeikh Ahmad Khathib Sambas tidak melantik
beliau sebagai seorang mursyid Thariqat Qadiriyah-Naqsyabandiyah, tetapi yang
dilantik ialah Syeikh Abdul Karim al-Bantani, iaitu ayah saudara kepada Syeikh
Nawawi al-Bantani, yang sama-sama menerima thariqat itu kepada Syeikh Ahmad
Khathib Sambas. Apakah sebabnya terjadi demikian hanya diketahui oleh Syeikh
Ahmad Khathib Sambas dan Syeikh Nawawi al-Bantani. Syeikh Nawawi al-Bantani
mematuhi peraturan yang diberikan itu, sehingga beliau tidak pernah
mentawajuh/membai'ah seseorang muridnya walaupun memang ramai murid beliau yang
menjadi ulama besar yang berminat dalam bidang keshufian.
Lahir
dan Pendidikan
Nama
lengkapnya adalah Syeikh Muhammad Nawawi bin Umar ibnu Arabi bin Ali al-Jawi
al-Bantani. Beliau adalah anak sulung seorang ulama Banten, Jawa Barat, lahir
pada tahun 1230 Hijrah/1814 Masehi di Banten dan wafat di Mekah tahun 1314
Hijrah/1897 Masehi. Ketika kecil, beliau sempat belajar kepada ayahnya sendiri,
dan di Mekah belajar kepada beberapa ulama terkenal pada zaman itu, di antara
mereka yang dapat dicatat adalah sebagai berikut: Syeikh Ahmad an-Nahrawi,
Syeikh Ahmad ad-Dumyati, Syeikh Muhammad Khathib Duma al-Hanbali, Syeikh
Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Maliki, Syeikh Zainuddin Aceh, Syeikh Ahmad
Khathib Sambas, Syeikh Syihabuddin, Syeikh Abdul Ghani Bima, Syeikh Abdul Hamid
Daghastani, Syeikh Yusuf Sunbulawani, Syeikhah Fatimah binti Syeikh Abdus
Shamad al-Falimbani, Syeikh Yusuf bin Arsyad al-Banjari, Syeikh Abdus Shamad
bin Abdur Rahman al-Falimbani, Syeikh Mahmud Kinan al-Falimbani, Syeikh Aqib
bin Hasanuddin al-Falimbani. Demikian saja para gurunya yang dapat dicatat
daripada berbagai-bagai sumber, dan berkemungkinan banyak yang belum dapat
dicatat di sini.
Dipercayai
beliau datang ke Mekah dalam usia 15 tahun dan selanjutnya setelah menerima
pelbagai ilmu di Mekah, beliau meneruskan pelajarannya ke Syam (Syiria) dan
Mesir. Setelah keluar dari Mekah kerana menuntut ilmu yang tidak diketahui
berapa lamanya, lalu beliau kembali lagi ke Mekah. Keseluruhan masa beliau
tinggal di Mekah dari mulai belajar, mengajar dan mengarang hingga sampai
kemuncak kemasyhurannya lebih dari setengah abad lamanya. Diriwayatkan bahawa
setiap kali beliau mengajar di Masjidil Haram sentiasa dikelilingi oleh pelajar
yang tidak kurang daripada dua ratus orang. Kerana sangat terkenalnya beliau
pernah diundang ke Universiti al-Azhar, Mesir untuk memberi ceramah atau
fatwa-fatwa pada beberapa perkara yang tertentu.
Belum
jelas tahun berapa beliau diundang oleh ahli akademik di Universiti al-Azhar
itu, namun difahamkan bahawa beliau sempat bertemu dengan seorang ulama
terkenal di al-Azhar (ketika itu sebagai Syeikhul Azhar), iaitu Syeikh Ibrahim
al-Baijuri (wafat 1860 Masehi) yang sangat tua dan lumpuh kerana tuanya.
Kemungkinan Syeikh Ibrahim al-Baijuri, Syeikhul Azhar yang terkenal itu
termasuk salah seorang di antara guru kepada Syeikh Nawawi al-Bantani.
Murid-Murid
Diriwayatkan
bahawa Syeikh Nawawi al-Bantani mengajar di Masjidil Haram menggunakan bahasa
Jawa dan Sunda ketika memberi keterangan terjemahan kitab-kitab bahasa Arab.
Barangkali ulama Banten yang terkenal itu kurang menguasai bahasa Melayu yang
lebih umum dan luas digunakan pada zaman itu. Oleh sebab kurang menguasai
bahasa Melayu, maka tidak berapa ramai muridnya yang berasal dari luar pulau
Jawa (seperti Sumatera dan Semenanjung Tanah Melayu dan Patani). Tetapi Tok
Kelaba al-Fathani menyebut bahawa beliau menerima satu amalan wirid daripada
Syeikh Abdul Qadir bin Mustafa al-Fathani, dan Syeikh Abdul Qadir itu
menerimanya daripada Syeikh Nawawi al-Bantani. Syeikh Abdul Qadir al-Fathani
(Tok Bendang Daya II) sebenarnya bukan peringkat murid kepada Syeikh Nawawi
al-Bantani tetapi adalah peringkat sahabatnya. Syeikh Nawawi al-Bantani (1230
Hijrah/1814 Masehi) lebih tua sekitar empat tahun saja daripada Syeikh Abdul
Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya II, 1234 Hijrah/1817 Masehi). Adapun murid
Syeikh Nawawi al-Bantani di pulau Jawa yang menjadi ulama yang terkenal sangat
ramai, di antara mereka ialah, Kiyai Haji Hasyim Asy'ari, Pengasas Pondok
Pesantren Tebuireng, Jawa Timur, bahkan beliau ini dianggap sebagai bapa ulama
Jawa dan termasuk pengasas Nahdhatul Ulama. Murid Syeikh Nawawi al-Bantani yang
terkenal pula ialah Kiyai Haji Raden Asnawi di Kudus, Jawa Tengah, Kiyai Haji
Tubagus Muhammad Asnawi di Caringin, Purwokerto, Jawa Barat, Syeikh Muhammad
Zainuddin bin Badawi as-Sumbawi, Syeikh Abdus Satar bin Abdul Wahhab as-Shidqi
al-Makki, Sayid Ali bin Ali al-Habsyi al-Madani dan ramai lagi.
Salah
seorang cucunya, yang juga mendapat pendidikan sepenuhnya daripada beliau ialah
Syeikh Abdul Haq bin Abdul Hannan al-Jawi al-Bantani (1285 Hijrah/1868 Masehi -
1324 Hijrah/1906 Masehi). Pada halaman pertama Al-Aqwalul Mulhaqat, Syeikh
Abdul Haq al-Bantani menyebut bahawa Syeikh Nawawi al-Bantani adalah orang
tuanya (Syeikhnya), orang yang memberi petunjuk dan pembimbingnya. Pada
bahagian kulit kitab pula beliau menulis bahawa beliau adalah `sibthun' (cucu)
an-Nawawi Tsani. Selain orang-orang yang tersebut di atas, sangat ramai murid
Syeikh Nawawi al-Bantani yang memimpin secara langsung barisan jihad di Cilegon
melawan penjajahan Belanda pada tahun 1888 Masehi. Di antara mereka yang
dianggap sebagai pemimpin pemberontak Celegon ialah: Haji Wasit, Haji Abdur
Rahman, Haji Haris, Haji Arsyad Thawil, Haji Arsyad Qasir, Haji Aqib dan
Tubagus Haji Ismail. Semua mereka adalah murid Syeikh Nawawi al-Bantani yang
dikaderkan di Mekah.
Karya-Karya
Berapa
banyakkah karya Syeikh Nawawi ats-Tsani al-Bantani yang sebenarnya belum
diketahui dengan pasti. Barangkali masih banyak yang belum masuk dalam senarai
yang ditulis oleh penulis-penulis sebelum ini. Saya telah memiliki karya ulama
Banten ini sebanyak 30 judul. Judul yang telah saya masukkan dalam buku
berjudul Katalog Besar Persuratan Melayu, sebanyak 44 judul. Semua karya Syeikh
Nawawi al-Bantani ditulis dalam bahasa Arab dan merupakan syarahan daripada
karya orang lain. Belum ditemui walau sebuah pun karyanya yang diciptakan
sendiri. Juga belum ditemui karyanya dalam bahasa Melayu, Jawa ataupun Sunda.
Oleh sebab kekurangan ruangan di antara 44 judul di bawah ini saya catat
sekadarnya saja, ialah:
1.
Targhibul Musytaqin, selesai Jumaat, 13 Jamadilakhir 1284 Hijrah/1867 Masehi.
Cetakan awal Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1311 Hijrah.
2.
Fat-hus Shamadil `Alim, selesai awal Jamadilawal 1286 Hijrah/1869 Masehi.
Dicetak oleh Mathba'ah Daril Kutubil Arabiyah al-Kubra, Mesir 1328 Hijrah.
3.
Syarah Miraqil `Ubudiyah, selesai 13 Zulkaedah 1289 Hijrah/1872 Masehi. Cetakan
pertama Mathba'ah al-Azhariyah al-Mashriyah, Mesir 1308 Hijrah.
4.
Madarijus Su'ud ila Iktisa'il Burud, mulai menulis 18 Rabiulawal 1293
Hijrah/1876 Masehi. Dicetak oleh Mathba'ah Mustafa al-Baby al-Halaby, Mesir,
akhir Zulkaedah 1327 Hijrah.
5.
Hidayatul Azkiya' ila Thariqil Auliya', mulai menulis 22 Rabiulakhir 1293
Hijrah/1876 Masehi, selesai 13 Jamadilakhir 1293 Hijrah/1876 Masehi.
Diterbitkan oleh Mathba'ah Ahmad bin Sa'ad bin Nabhan, Surabaya, tanpa menyebut
tahun penerbitan.
6.
Fat-hul Majid fi Syarhi Durril Farid, selesai 7 Ramadan 1294 Hijrah/1877
Masehi. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1304
Hijrah.
7.
Bughyatul `Awam fi Syarhi Maulidi Saiyidil Anam, selesai 17 Safar 1294
Hijrah/1877 Masehi. Dicetak oleh Mathba'ah al-Jadidah al-'Amirah, Mesir, 1297
Hijrah.
8.
Syarah Tijanud Darari, selesai 7 Rabiulawal 1297 Hijrah/1879 Masehi. Cetakan
pertama oleh Mathba'ah `Abdul Hamid Ahmad Hanafi, Mesir, 1369 Masehi.
9.
Syarah Mishbahu Zhulmi `alan Nahjil Atammi, selesai Jamadilawal 1305
Hijrah/1887 Masehi. Cetakan pertama oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah,
1314 Hijrah atas biaya saudara kandung pengarang, iaitu Syeikh Abdullah
al-Bantani.
10.
Nasha-ihul `Ibad, selesai 21 Safar 1311 Hijrah/1893 Masehi. Cetakan kedua oleh
Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1323 Hijrah.
11.
Al-Futuhatul Madaniyah fisy Syu'bil Imaniyah, tanpa tarikh. Dicetak di bahagian
tepi kitab nombor 10, oleh Mathba'ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah, 1323 Hijrah.
12.
Hilyatus Shibyan Syarhu Fat-hir Rahman fi Tajwidil Quran, tanpa tarikh. Dicetak
oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1332 Hijrah.
13.
Qatrul Ghaits fi Syarhi Masaili Abil Laits, tanpa tarikh. Dicetak oleh
Mathba'ah al-Miriyah, Mekah, 1321 Hijrah.
14.
Mirqatu Su'udi Tashdiq Syarhu Sulamit Taufiq, tanpa tarikh. Cetakan pertama
oleh Mathba'ah al-Miriyah, Mekah 1304 Hijrah.
15.
Ats-Tsimarul Yani'ah fir Riyadhil Badi'ah, tanpa tarikh. Cetakan pertama oleh
Mathba'ah al-Bahiyah, Mesir, Syaaban 1299 Hijrah. Dicetak juga oleh Mathba'ah
Mustafa al-Baby al-Halaby, Mesir, 1342 Hijrah.
16.
Tanqihul Qaulil Hatsits fi Syarhi Lubabil Hadits, tanpa tarikh. Dicetak oleh
Mathba'ah Dar Ihya' al-Kutub al-'Arabiyah, Mesir, tanpa tarikh.
17.Bahjatul
Wasail bi Syarhi Masail, tanpa tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah al-Haramain,
Singapura-Jeddah, tanpa tarikh.
18.
Fat-hul Mujib Syarhu Manasik al- 'Allamah al-Khatib, tanpa tarikh. Dicetak oleh
Mathba'ah at-Taraqqil Majidiyah, Mekah, 1328 Hijrah.
19.
Nihayatuz Zain Irsyadil Mubtadi-in, tanpa tarikh. Diterbitkan oleh Syarikat
al-Ma'arif, Bandung, Indonesia, tanpa tarikh.
20.
Al-Fushushul Yaqutiyah `alar Raudhatil Bahiyah fi Abwabit Tashrifiyah, tanpa
tarikh. Dicetak oleh Mathba'ah al-Bahiyah, Mesir, awal Syaaban 1299 Hijrah.
Penyumbang
Ilmu Fiqh
Syekh
Nawawi termasuk ulama tradisional besar yang telah memberikan sumbangan sangat
penting bagi perkembangan ilmu fiqh di Indonesia. Mereka memperkenalkan dan
menjelaskan, melalui syarah yang mereka tulis, berbagai karya fiqh penting dan
mereka mendidik generasi ulama yang menguasai dan memberikan perhatian kepada
fiqh.
Ia
menulis kitab fiqh yang digunakan secara luas, Nihayat al-Zain. Kitab ini
merupakan syarah kitab Qurrat al-‘Ain, yang ditulis oleh ulama India Selatan
abad ke-16, Zain ad-Din al-Malibari (w. 975 M). ulama India ini adalah murid
Ibnu Hajar al-haitami (wafat 973 M), penulis Tuhfah al-Muhtaj, tetapi Qurrat
dan syarah yag belakangan ditulis al-Malibari sendiri tidak didasarkan pada
Tuhfah.
Qurrat
al-‘Ain belakangan dikomentari dan ditulis kembali oleh pengarangnya sendiri
menjadi Fath al-Muin. Dua orang yang sezaman dengan Syekh Nawawi Banten di
Makkah tapi lebih muda usianya menulis hasyiyah (catatan) atas Fath al-Mu’in.
Sayyid Bakri bin Muhammad Syatha al-Dimyathi menulis empat jilid I’aanah
at-Thalibbin yang berisikan catatan pengarang dan sejumlah fatwa mufti Syafi’i
di Makkah saat itu, Ahmad bin Zaini Dahlan. Inilah kitab yang popular sebagai
rujukan utama.
Syekh
Nawawi Banten juga menulis dalam bahasa Arab Kasyifah as-Saja’, syarah atas dua
karya lain yang juga penting dalam ilmu fiqh. Yang satu teks pengantar Sullamu
at-Taufiq yang ditulis oleh ‘Abdullah bin Husain bin Thahir Ba’lawi (wafat 1272
H/ 1855 M). yang lain ialah Safinah an-Najah ditulis oleh Salim bin Abdullah
bin Samir, ulama Hadrami yang tinggal di Batavia (kini: Jakarta) pada
pertengahan abad ke-19.
Kitab
daras (text book) ar-Riyadh al Badi’ah fi Ushul ad-Din wa Ba’dh Furu’
asy-Syari’ah yang membahas butir pilihan ajaran dan kewajiban agama
diperkenalkan oleh Kyai Nawawi Banten pada kaum muslimin Indonesia. Tak banyak
diketahui tentang pengarangnya, Muhammad Hasbullah. Barangkali ia sezaman
dengan atau sedikit lebih tua dari Syekh Nawawi banten. Ia terutama dikenal
karena syarah Nawawi, Tsamar al-Yani’ah. Karyanya hanya dicetak di pinggirnya.
Sullam
al-Munajat merupakan syarah Nawawi atas pedoman ibadah Safinah ash-Shalah
karangan Abdullah bin ‘Umar al-Hadrami, sedangkan Tausyih Ibn Qasim merupakan
komentarnya atas Fath al-Qarib. Walau bagaimanapun, masih banyak yang belum
kita ketahui tentang Syekh Nawawi Banten. (ditulis oleh Martin Muntadhim S.M.)
Nasionalisme
Tiga
tahun bermukim di Mekah, beliau pulang ke Banten. Sampai di tanah air beliau
menyaksikan praktek-praktek ketidakadilan, kesewenang-wenangan dan penindasan
dari Pemerintah Hindia Belanda. Ia melihat itu semua lantaran kebodohan yang
masih menyelimuti umat. Tak ayal, gelora jihadpun berkobar. Beliau keliling
Banten mengobarkan perlawanan terhadap penjajah. Tentu saja Pemerintah Belanda
membatasi gara-geriknya. Beliau dilarang berkhutbah di masjid-masjid. Bahkan
belakangan beliau dituduh sebagai pengikut Pangeran Diponegoro yang ketika itu
memang sedang mengobarkan perlawanan terhadap penjajahan Belanda (1825- 1830
M).
Sebagai
intelektual yang memiliki komitmen tinggi terhadap prinsip-prinsip keadilan dan
kebenaran, apa boleh buat Syaikh Nawawi terpaksa menyingkir ke Negeri Mekah,
tepat ketika perlawanan Pangeran Diponegoro padam pada tahun 1830 M. Ulama
Besar ini di masa mudanya juga menularkan semangat Nasionalisme dan Patriotisme
di kalangan Rakyat Indonesia. Begitulah pengakuan Snouck Hourgronje. Begitu
sampai di Mekah beliau segera kembali memperdalam ilmu agama kepada
guru-gurunya. Beliau tekun belajar selama 30 tahun, sejak tahun 1830 hingga
1860 M. Ketika itu memang beliau berketepatan hati untuk mukim di tanah suci,
satu dan lain hal untuk menghindari tekanan kaum penjajah Belanda. Nama beliau
mulai masyhur ketika menetap di Syi'ib ‘Ali, Mekah. Beliau mengajar di halaman
rumahnya. Mula-mula muridnya cuma puluhan, tapi makin lama makin jumlahnya kian
banyak. Mereka datang dari berbagai penjuru dunia. Maka jadilah Syaikh Nawawi
al-Bantani al-Jawi sebagai ulama yang dikenal piawai dalam ilmu agama, terutama
tentang tauhid, fiqih, tafsir, dan tasawwuf.
Nama
beliau semakin melejit ketika beliau ditunjuk sebagai pengganti Imam Masjidil
Haram, Syaikh Khâtib al-Minagkabawi. Sejak itulah beliau dikenal dengan nama
resmi ‘Syaikh Nawawi al-Bantani al-Jawi.’ Artinya Nawawi dari Banten, Jawa.
Piawai dalam ilmu agama, masyhur sebagai ulama. Tidak hanya di kota Mekah dan
Medinah saja beliau dikenal, bahkan di negeri Mesir nama beliau masyhur di
sana. Itulah sebabnya ketika Indonesia memproklamirkan kemerdekaannya. Mesir
negara yang pertama-tama mendukung atas kemerdekaan Indonesia.
Syaikh
Nawawi masih tetap mengobarkan nasionalisme dan patriotisme di kalangan para
muridnya yang biasa berkumpul di perkampungan Jawa di Mekah. Di sanalah beliau
menyampaikan perlawanannya lewat pemikiran-pemikirannya. Kegiatan ini tentu
saja membuat pemerintah Hindia Belanda berang. Tak ayal, Belandapun mengutus
Snouck Hourgronje ke Mekah untuk menemui beliau.
Ketika
Snouck–yang kala itu menyamar sebagai orang Arab dengan nama ‘Abdul Ghafûr-bertanya:
“Mengapa
beliau tidak mengajar di Masjidil Haram tapi di perkampungan Jawa?”.
Dengan
lembut Syaikh Nawawi menjawab:
“Pakaianku
yang jelek dan kepribadianku tidak cocok dan tidak pantas dengan keilmuan
seorang professor berbangsa Arab”.
Lalu
kata Snouck lagi:
”Bukankah
banyak orang yang tidak sepakar seperti anda akan tetapi juga mengajar di
sana?”.
Syaikh
Nawawi menjawab :
“Kalau
mereka diizinkan mengajar di sana, pastilah mereka cukup berjasa".
Dari
beberapa pertemuan dengan Syaikh Nawawi, Orientalis Belanda itu mengambil
beberapa kesimpulan. Menurutnya, Syaikh Nawawi adalah Ulama yang ilmunya dalam,
rendah hati, tidak congkak, bersedia berkorban demi kepentingan agama dan
bangsa. Banyak murid-muridnya yang di belakang hari menjadi ulama, misalnya
K.H. Hasyim Asy’ari (Pendiri Nahdhatul Ulama), K.H. Ahmad Dahlan (Pendiri
Muhammadiyah), K.H. Khalil Bangkalan, K.H. Asnawi Kudus, K.H. Tb. Bakrie
Purwakarta, K.H. Arsyad Thawil, dan lain-lainnya.
Konon,
K.H. Hasyim Asy’ari saat mengajar santri-santrinya di Pesantren Tebu Ireng
sering menangis jika membaca kitab fiqih Fath al-Qarîb yang dikarang oleh
Syaikh Nawawi. Kenangan terhadap gurunya itu amat mendalam di hati K.H. Hasyim
Asy’ari hingga haru tak kuasa ditahannya setiap kali baris Fath al-Qarib ia
ajarkan pada santri-santrinya.
Syaikh
Nawawi al-Bantani al-Jawi menikah dengan Nyai Nasimah, gadis asal Tanara,
Banten dan dikaruniai 3 anak: Nafisah, Maryam, Rubi’ah. Sang istri wafat
mendahului beliau.
Gelar-Gelar
Berkat
kepakarannya, beliau mendapat bermacam-macam gelar. Di antaranya yang diberikan
oleh Snouck Hourgronje, yang menggelarinya sebagai Doktor Ketuhanan. Kalangan
Intelektual masa itu juga menggelarinya sebagai al-Imam wa al-Fahm al-Mudaqqiq
(Tokoh dan pakar dengan pemahaman yang sangat mendalam). Syaikh Nawawi bahkan
juga mendapat gelar yang luar biasa sebagaia al-Sayyid al-‘Ulama al-Hijâz
(Tokoh Ulama Hijaz). Yang dimaksud dengan Hijaz ialah Jazirah Arab yang
sekarang ini disebut Saudi Arabia. Sementara para Ulama Indonesia menggelarinya
sebagai Bapak Kitab Kuning Indonesia.
Karamah
Konon,
pada suatu waktu pernah beliau mengarang kitab dengan menggunakan telunjuk
beliau sebagai lampu, saat itu dalam sebuah perjalanan. Karena tidak ada cahaya
dalam syuqduf yakni rumah-rumahan di punggung unta, yang beliau diami,
sementara aspirasi tengah kencang mengisi kepalanya. Syaikh Nawawi kemudian
berdoa memohon kepada Allah Ta’ala agar telunjuk kirinya dapat menjadi lampu
menerangi jari kanannya yang untuk menulis. Kitab yang kemudian lahir dengan
nama Marâqi al-‘Ubudiyyah syarah Matan Bidâyah al-Hidayah itu harus dibayar
beliau dengan cacat pada jari telunjuk kirinya. Cahaya yang diberikan Allah
pada jari telunjuk kiri beliau itu membawa bekas yang tidak hilang. Karamah
beliau yang lain juga diperlihatkannya di saat mengunjungi salah satu masjid di
Jakarta yakni Masjid Pekojan. Masjid yang dibangun oleh salah seorang keturunan
cucu Rasulullah saw Habib Utsmân bin ‘Agîl bin Yahya al-‘Alawi, Ulama dan Mufti
Betawi (sekarang ibukota Jakarta), itu ternyata memiliki kiblat yang salah.
Padahal yang menentukan kiblat bagi mesjid itu adalah Sayyid Utsmân sendiri.
Tak
ayal , saat seorang anak remaja yang tak dikenalnya menyalahkan penentuan
kiblat, kagetlah Sayyid Utsmân. Diskusipun terjadi dengan seru antara mereka
berdua. Sayyid Utsmân tetap berpendirian kiblat Mesjid Pekojan sudah benar.
Sementara Syaikh Nawawi remaja berpendapat arah kiblat mesti dibetulkan. Saat
kesepakatan tak bisa diraih karena masing-masing mempertahankan pendapatnya
dengan keras, Syaikh Nawawi remaja menarik lengan baju lengan Sayyid Utsmân.
Dirapatkan tubuhnya agar bisa saling mendekat.
“Lihatlah
Sayyid!, itulah Ka’bah tempat Kiblat kita. Lihat dan perhatikanlah! Tidakkah
Ka?bah itu terlihat amat jelas? Sementara Kiblat masjid ini agak kekiri. Maka
perlulah kiblatnya digeser ke kanan agar tepat menghadap ke Ka’bah". Ujar
Syaikh Nawawi remaja.
Sayyid
Utsmân termangu. Ka’bah yang ia lihat dengan mengikuti telunjuk Syaikh Nawawi
remaja memang terlihat jelas. Sayyid Utsmân merasa takjub dan menyadari ,
remaja yang bertubuh kecil di hadapannya ini telah dikaruniai kemuliaan, yakni
terbukanya nur basyariyyah. Dengan karamah itu, di manapun beliau berada Ka?bah
tetap terlihat. Dengan penuh hormat, Sayyid Utsmân langsung memeluk tubuh kecil
beliau. Sampai saat ini, jika kita mengunjungi Masjid Pekojan akan terlihat
kiblat digeser, tidak sesuai aslinya.
Telah
menjadi kebijakan Pemerintah Arab Saudi bahwa orang yang telah dikubur selama
setahun kuburannya harus digali. Tulang belulang si mayat kemudian diambil dan
disatukan dengan tulang belulang mayat lainnya. Selanjutnya semua tulang itu
dikuburkan di tempat lain di luar kota. Lubang kubur yang dibongkar dibiarkan
tetap terbuka hingga datang jenazah berikutnya terus silih berganti. Kebijakan
ini dijalankan tanpa pandang bulu. Siapapun dia, pejabat atau orang biasa,
saudagar kaya atau orang miskin, sama terkena kebijakan tersebut. Inilah yang
juga menimpa makam Syaikh Nawawi. Setelah kuburnya genap berusia satu tahun,
datanglah petugas dari pemerintah kota untuk menggali kuburnya. Tetapi yang
terjadi adalah hal yang tak lazim. Para petugas kuburan itu tak menemukan
tulang belulang seperti biasanya. Yang mereka temukan adalah satu jasad yang
masih utuh. Tidak kurang satu apapun, tidak lecet atau tanda-tanda pembusukan
seperti lazimnya jenazah yang telah lama dikubur. Bahkan kain putih kafan
penutup jasad beliau tidak sobek dan tidak lapuk sedikitpun.
Terang
saja kejadian ini mengejutkan para petugas. Mereka lari berhamburan mendatangi
atasannya dan menceritakan apa yang telah terjadi. Setelah diteliti, sang
atasan kemudian menyadari bahwa makam yang digali itu bukan makam orang
sembarangan. Langkah strategis lalu diambil. Pemerintah melarang membongkar
makam tersebut. Jasad beliau lalu dikuburkan kembali seperti sediakala. Hingga
sekarang makam beliau tetap berada di Ma’la, Mekah.
Demikianlah
karamah Syaikh Nawawi al-Bantani al-Jawi. Tanah organisme yang hidup di
dalamnya sedikitpun tidak merusak jasad beliau. Kasih sayang Allah Ta’ala
berlimpah pada beliau. Karamah Syaikh Nawawi yang paling tinggi akan kita
rasakan saat kita membuka lembar demi lembar Tafsîr Munîr yang beliau karang.
Kitab Tafsir fenomenal ini menerangi jalan siapa saja yang ingin memahami
Firman Allah swt. Begitu juga dari kalimat-kalimat lugas kitab fiqih, Kâsyifah
al-Sajâ, yang menerangkan syariat. Begitu pula ratusan hikmah di dalam kitab
Nashâih al-‘Ibâd. Serta ratusan kitab lainnya yang akan terus menyirami umat
dengan cahaya abadi dari buah tangan beliau.
Wafat
Masa
selama 69 tahun mengabdikan dirinya sebagai guru Umat Islam telah memberikan
pandangan-pandangan cemerlang atas berbagai masalah umat Islam. Syaikh Nawawi
wafat di Mekah pada tanggal 25 syawal 1314 H/ 1897 M. Tapi ada pula yang
mencatat tahun wafatnya pada tahun 1316 H/ 1899 M. Makamnya terletak di
pekuburan Ma'la di Mekah. Makam beliau bersebelahan dengan makam anak perempuan
dari Sayyidina Abu Bakar al-Siddiq, Asma’ binti Abû Bakar al-Siddîq.
Sumber : www. Muslim.Or.Id dan www.almuhibbin.com
Tidak ada komentar:
Posting Komentar